Saturday, March 20, 2010

Kita Hanya Mampu Merancang





Hampir sebulan Suri tidak update blog ini. Sejak kebelakangan ini Suri berasa agak penat kerana pada waktu siang mengasuh kanak-kanak di samping melayan karenah anak-anak sendiri yang semakin 'lasak' dan 'nakal'. Jadi pada waktu malam, Suri masuk tidur lebih awal daripada biasa. 

Sebenarnya, mulai bulan Januari lalu,  bilangan kanak-kanak dan bayi di bawah jagaan Suri telah dikurangkan daripada 7 orang kepada 3 orang sahaja. Ini berlaku sebaik sahaja Suri disahkan mengandung pada bulan November tahun lalu. Ini adalah faktor utama yang menyebabkan Suri keletihan.

Suri tidak menjangka akan mengandung kerana telah mengambil perancang keluarga selepas kelahiran anak kedua pada tahun 2005 iaitu lebih kurang 4-5 tahun lalu. Keputusan untuk mengambil perancang keluarga adalah bagi menjarakkan kelahiran kerana jarak kelahiran antara anak pertama dan kedua hanya lebih kurang 1 tahun. Di samping itu, Suri mengalami sedikit tekanan dan fobia selepas kelahiran anak pertama dan kedua. Pengalaman melahirkan kedua-dua anak merupakan ujian yang amat besar dalam hidup Suri. Catatan pengalaman dan ujian yang pernah Suri tempuhi pada kelahiran kedua-dua anak akan Suri kongsikan pada posting akan datang.

Walaupun Suri pada awalnya tidak menjangkakan akan hamil, Suri tetap bersyukur dan gembira dengan kandungan yang kini telah berusia 24 minggu. Perasaan  bimbang dan fobia yang menyelubungi Suri selepas sahaja mengetahui bahawa Suri hamil anak ketiga kini sudah mulai hilang. Malahan, Suri berasa excited untuk melahirkan anak ketiga yang dijangkakan akan due pada 9 Julai 2010. Pada hujung minggu lepas, Suri balik kampung dan berkesempatan untuk pergi ke klinik untuk scan  jantina kandungan. Mengikut pengamatan doktor, jantina kandungan Suri adalah perempuan. Alhamdulillah. Tak kisahlah lelaki atau perempuan. Bagi Suri yang lebih penting bayi yang akan lahir nanti sihat. Lagipun, Suri sudah pun mempunyai sepasang anak lelaki dan perempuan. Mungkin, suami sedikit kecewa kerana berharap mendapat seorang lagi anak lelaki. Walau bagaimanapun, dia kelihatan gembira kerana mungkin dia telah bersabar agak lama untuk mendapatkan anak ketiga. Hanya menunggu kesediaan Suri untuk mengandung lagi.

Mengenai perkhidmatan mengasuh kanak-kanak di rumah yang telah diusahakan semenjak tahun lalu, Suri akan memberhentikan perkhidmatan ini mungkin untuk sementara waktu mulai bulan Mei 2010. Ibu kepada 3 kanak-kanak berumur antara 1 hingga 3 tahun yang masih dalam jagaan Suri telah dimaklumkan mengenai perkara ini. Mereka juga tidak mempunyai masalah untuk mencari pengasuh kerana terdapat banyak nurseri/taska dan taska rumah di sekitar Putrajaya. Rakan dan juga jiran Suri yang tinggal selang sebuah rumah juga sedang menjalankan perkhidmatan taska rumah. Semasa Suri ada temujanji untuk check-up di kelinik kesihatan awam yang biasanya mengambil masa antara 3-4 jam, ketiga-tiga kanak-kanak tersebut Suri hantar ke rumah beliau dan Suri membayar kepada beliau dengan kadar bayaran mengikut jam.

Sebagai insan, kita hanya mampu untuk merancang yang terbaik untuk diri kita dan juga untuk keluarga kita. Allah juga merancang untuk kita dan kita sendiri tidak tahu apa yang Allah telah sediakan untuk kita pada masa hadapan. Usaha, doa dan tawakal supaya apa yang kita rancang berhasil seperti yang kita harapkan. Jika apa yang berlaku bukan seperti yang kita harapkan, kita wajib redha dengan pemberian Allah swt. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Mungkin belum rezeki Suri untuk menjadi usahawan taska buat masa ini. Suri perlu memberi tumpuan terhadap anak-anak dan membina keluarga terlebih dahulu.

1 comments:

  1. Zaman sekarang duit menjadi rebutan sampai sesetengah org sanggup mengabaikan kebajikan anak2 demi mengejar keselesaan hidup.Mungkin ada sebab tertentu dan mungkin tidak sedar betapa susahnya untuk mendapat seorang permata.Seharusnya tidak ada istilah penyesalan dlm hidup setelah disahkan hamil walaupun keadaan,masa dan impian yg masih tercapai.Insyaallah dengan berkat Doa,Usaha yg gigih serta Dorongan dari family (suami)Impian suri akan tercapai.INSYAALLAH.

    ReplyDelete