Semalam Suri membuat pemeriksaan rutin di klinik kesihatan berhampiran. Minggu ini masuk minggu ke 33 usia kandungan Suri. Seperti biasa ujian air kencing, timbangan berat badan dan tekanan darah dilakukan oleh jururawat.
Suri memaklumkan kepada jururawat yang membuat pemeriksaan mengenai 2 perkara. Pertamanya, sejak kebelakangan ini bayi dalam kandungan Suri sering menyondol di bahagian bawah menyebabkan sedikit rasa sakit di bahagian bawah perut. Manakala perkara kedua ialah mengenai masalah keputihan yang Suri alami sejak seminggu yang lalu.
Pemeriksaan lanjutan kemudiannya dibuat oleh doktor. Mengenai perkara pertama, doktor memberitahu bahawa bayi dalam kandungan sudah berada dalam laluan keluarnya sedikit. aini bermakna, Suri berkemungkinan besar boleh melahirkan lebih awal dari tarikh dijangkakan.
Bagi masalah keputihan pula, Suri dibekalkan dengan pil untuk membunuh bakteria di saluran vagina. Pil tersebut perlu diambil selama 3 hari berturut-turut pada waktu malam iaitu sebanyak 1 biji setiap malam dengan memasukkannya ke dalam vagina. Selepas pil dimasukkan, Suri tidak dibenarkan untuk bergerak atau membuanag air dalam tempoh 6 jam. Alhamdulillah selepas menggunakannya pertama kali malam semalam, masla keputian dan kegatalan sudah berkurangan.
Minggu ini juga merupakan minggu terakhir Suri mengasuh kanak-kanak. Perkhidmatan mengasuh kanak-kanak Suri yang bermula pada 3 Januari 2009 akan berakhir buat sementara waktu pada esok 27 Mei 2010. Ini bagi memudahkan Suri membuat persiapan yang lebih rapi dari segi mental, emosi dan barang-barang keperluan yang lain.
Suri sudah mula membuat pengurangan bilangan kanak-kanak yang diasuh semenjak awal tahun lagi. Pada bulan Mei ini, hanya tinggal seorang sahaja kanak-kanak di bawah jagaan Suri. Kanak-kanak ini yang lebih msra dengan panggilan nama Mija oleh seluruh keluarga Suri adalah merupakan antara bayi yang terawal diasuh oleh Suri iaitu semasa masih berumur 1 bulan setengah lagi.
Mengingat kembali pada peringkat awal Suri mengasuh Mija bersama-sama 2 orang bayi yang pada ketika itu, penjagaan ke atas Mija memerlukan kesabaran yang tinggi. Nak tidur sentiasa perlukan buaian bersama puting melekap dibibir. Tidak boleh ada bunyi sedikit pun di sekelilingnya semasa dia sedang tidur. Jika tidak dia akan merengek dan menangis menyebabkan bayi yang lain pun turut terjaga dan menangis.
Suri juga seperti tidak dibenarkan bergerak ke mana-mana sama ada ke dapur atau ke bilik air. Kalau difikirkan Suri hampir putus asa untuk mengasuhnya dek perangai menangisnya yang tanpa henti. Dia langsung tidak boleh diletakkan dibawah bersama bayi-bayi yang lain. Malah pernah beberapa kali Suri memanggil mamanya untuk datang menenangkan dia pada waktu kerja.
Sehingga usianya mencecah 6 bulan, Mija masih tidak berubah menyebabkan Suri mengambil keputusan untuk mengasuhnya dengan sedikit ketegasan setelah mendapat keizinan dari mamanya. Mamanya membenarkan Suri asalkan perangai suka meragam tak tentu pasal anaknya berubah kerana keadaan yang sama juga berlaku di rumahnya.
Dengan kepercayaan yang telah diberikan, Suri mula mengasuhnya dengan pendekatan yang berbeza iaitu menggunakan nada suara yang sedikit tinggi dan mimik muka yang sedikit garang. Setiap kali dia menangis, Suri terpaksa berkeras hati untuk tidak melayannya kerana Suri tahu tangisannya bukan kerana lapar atau berada dalam tidak keselsaan atau kesakitan. Tangisannya hanyalah supaya Suri memberikan perhatian kepadanya.
Suri juga tidak lagi menidurkannya dalam buaian dengan memaksanya tidur di atas hamparan tilam yang disediakan sebagaimana kanak-kanak yang lain. Walaupun sukar untuk mengubahnya di peringkat awal, tetapi dengan kerjasama mamanya yang tidak pernah mempersoalkan cara asuhan Suri, kelakuan dan perangai meragam tak tentu pasal Mija mula berubah. Malahan, pendekatan yang sama juga digunakan di rumah oleh mamanya atas nasihat dan pandangan Suri.
Bulan ini umurnya 1 tahun 5 bulan. Walaupun menghadapi sedikit cabaran di peringkat awal, Mija kini adalah seorang kanak-kanak yang bijak, mudah dijaga, mengikut arahan serta berdisiplin dan tidak banyak kerenah. Terima kasih kepada mama Mija kerana memberi kebebasan kepada Suri mengasuh anaknya seperti anak sendiri. Suri, suami dan anak-anak yang dipanggil 'ibu', 'ayah', 'kakak' dan 'abang' sudah pasti akan merinduinya.
Mulai hari Jumaat, 28 Mei 2010 ini, Suri akan kembali sunyi di rumah seorang diri sementara anak-anak bersekolah dan suami di pejabat. Nasib baik ada cuti sekolah selama 2 minggu tidak lama lagi. Sekurang-kurangnya tidaklah lama Suri bersendirian di rumah sementara menunggu tibanya hari untuk bersalin.
Keluarga Suri telah mengadakan majlis doa selamat di kampung pada 2 minggu yang lepas. Persiapan membeli barang-barang keperluan juga telah dibuat. Air selusuh juga telah disiapkan. Mudah-mudahan segalanya berjalan dengan lancar dan selamat.
0 comments:
Post a Comment