Sunday, July 4, 2010

Anak Pertama

Suri bakal melahirkan anak ketiga tak lama lagi. Perasaan gembira bercampur takut pun ada. Seperti mana dalam catatan sebelum ini, Suri ada menceritakan sebahagian daripada kisah dan pengalaman yang pernah dilalui dalam kehidupan Suri dalam membina keluarga.

Suri selamat melahirkan anak pertama, seorang bayi lelaki yang comel dalam bulan Jun 2004, iaitu lebih kurang selepas 18 bulan mendirikan rumah tangga. Semasa berada dalam bilik bersalin, suami dibenarkan untuk bersama-sama Suri sehinggalah bayi kami selamat dilahirkan. Sesiapa yang pernah bersalin secara normal anak pertama sudah tentu tahu bagaimana rasanya menahan kesakitan semasa bersalin.

Selepas selesai di  bilik bersalin, Suri ditempatkan di wad kelas satu bilik berdua sehingga dibenarkan pulang pada keesokannya. Kehadiran cahaya mata pertama dalam kehidupan berumah tangga merupakan saat yang paling indah buat Suri dan suami. Ia merupakan satu anugerah yang amat besar apabila Suri dan suami pada masa itu mendapat gelaran 'ibu' dan 'ayah'.

Ibu Suri berada bersama-sama Suri dalam tempoh berpantang hanya untuk seminggu sahaja memandangkan adik-adik Suri masih bersekolah lagi di kampung. Begitu juga dengan ibu mertua Suri. Selebihnya Suri berpantang seorang diri di rumah. Makan minum, membasuh pakaian dan mengemas rumah semasa berpantang diuruskan oleh suami. Beliau terpaksa mengorbankan masanya bermula pada awal pagi sebelum pergi bekerja sehinggalah selepas pulang dari pejabat ke lewat malam. 

Cahaya mata pertama kami didaftarkan dengan nama Farhan Fathullah (FF) yang bermaksud 'kegembiraan' dan 'pembukaan Allah'.  Sejak lahir, FF mudah diuruskan dan tidak banyak meragam atau menangis. Kadang-kadang kami rasa pelik juga kerana tidak seperti bayi-bayi lain di wad yang sama. 

Setiap minggu, seorang jururawat dari klinik kesihatan akan datang untuk membuat pemeriksaan. FF didapati mempunyai jaundice atau demam kuning. Walau bagaimanapun, tahap jaundicenya masih berada pada tahap yang terkawal. Pelbagai usaha dibuat bagi mengawal jaundicenya supaya tidak menjadi lebih serius. Suami akan mendokongnya untuk di bawa ke halaman rumah antara  pukul 8:30 a.m. - 9:30 a.m. supaya badannya mendapat cahaya matahari pagi. Suami juga membeli sejenis herba cina di kedai ubat-ubatan Cina yang dicampurkan dalam air untuk mandian. 

Di samping itu, setiap hari suami akan mencari daun 'dukung anak' di tepi-tepi jalan dan belakang rumah untuk direbus dan digunakan dalam mandian. Tak cukup dengan itu, ada juga nasihat supaya memberikan susu kambing. Harga satu botol susu kambing pada masa itu ialah RM5 sebotol. Walau bagaimanapun, susu kambing tidak memberi kesan yang positif kepada jaundice kerana mungkin tidak sesuai dengan usianya pada ketika itu. Jaundice FF akhirnya bertambah baik dengan usaha-usaha yang telah dibuat bagi mengelakkannya dimasukkan ke wad untuk mendapat rawatan lanjut di bawah sinar lampu.

Perbelanjaan harian keluarga sebelum ini berkisar hanya kepada keperluan harian kami suami isteri kemudiannya bertambah sedikit untuk memenuhi keperluan lain terutamanya diapers dan susu. Walau bagaimanapun, ia tidak menjadi masalah kerana perancangan awal telah pun dibuat semasa dalam tempoh kehamilan lagi.

Suri tidak banyak menghadapi masalah dalam penjagaan FF kerana dia tidak banyak ragam seperti merengek atau menangis. Cuma yang menjadi tanda tanya kami ialah apabila terdapat kesan peluh di dahinya semasa dia tidur. Pada peringkat awalnya, kami merasakan mungkin rumah kami agak berbahang kerana bilik tidur utama di tingkat atas tidak dilengkapi dengan air-cond. Tetapi apabila keadaan yang sama berlaku juga semasa dia tidur dalam kereta dengan air-cond yang terpasang menyebabkan Suri bertanyakan kepada doktor di klinik kesihatan daerah semasa pemeriksaan rutin.

Apabila ditanyakan mengenai perkara tersebut, doktor menasihatkan Suri supaya tidak terlalu mengambil kisah (berat) dengan perkara seperti itu. Alasannya ialah dia juga mempunyai ramai anak dan semua anak-anaknya juga berpeluh. Mungkin kerana FF merupakan anak pertama Suri berbanding dengan dia (doktor) yang sudah berpengalaman menjaga anak yang ramai, dia cuba memperkecilkan pengetahuan Suri mengenai penjagaan anak. Walau pun ini merupakan pengalaman pertama hamil dan bersalin, Suri telah membuat persediaan dengan ilmu pengetahuan yang diperlukan melalui pembacaan seperti majalah Pa &Ma dan artikel-artikel dalam surat khabar.

Cara doktor tersebut memberikan penjelasan agak menyinggung perasaan Suri. Namun Suri terima juga padangannya dengan berat hati bahawa keadaan FF yang berpeluh semasa tidur itu adalah fenomena biasa bayi. Mungkin juga disebabkan keadaan bilik tidur yang berbahang. Justeru itu, suami pun mengambil keputusan untuk memasang air-cond supaya FF boleh tidur dengan lebih selesa dan tidak lagi berpeluh. Walau bagaimanapun, keadaannya masih tidak berubah. Dia masih berpeluh seperti mana biasa walaupun dalam keadaan tidurnya yang lena.

Semasa FF berumur lebih kurang 3 bulan, Suri dapati dia demam berdasarkan bacaan suhu pada termometer. Kami membawanya ke sebuah klinik swasta di pekan di mana doktornya adalah jiran kami iatu Dr. Norlela. Semasa membuat pemeriksaan ke atas paru-parunya melalui stetoskop beberapa kali, Dr. Norlela bertanya kepada Suri sama ada pegawai perubatan kerajaan yang membuat pemeriksaan rutin setiap bulan ada memaklumkan sebarang masalah mengenai kesihatan FF. 

Suri menceritakan kepada Dr. Norlela mengenai kebimbangan kami mengenai titisan peluh yang keluar pada dahi FF semasa tidur dan menceritakan mengenai respon doktor kerajaan tersebut. Dr. Norlela memberitahu Suri dan suami bahawa terdapat bunyi pada jantung FF semasa dia menarik nafasnya. Beliau seterusnya menyediakan satu surat rujukan kepada Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan untuk membuat pemeriksaan lanjut ke atas jantung FF.

Pada ketika ini, Suri memandang suami dan FF. Kebimbangan kami yang merasakan ada sesuatu yang tidak kena mengenai keadaannya yang sentiasa berpeluh semasa tidur sebelum ini ada asasnya . Surat iringan Dr. Norlela kami bawa bersama ke klinik kerajaan. Selepas menerima surat rujukan daripada Dr. Norlela, pegawai perubatan yang sebelum ini seolah-olah memperkecilkan kebimbangan Suri terus menyediakan satu surat rujukan kepada pakar perubatan Hospital K. Pilah.

Mulai daripada hari tersebut, FF mula dibawa untuk pemeriksaan lanjut di Hospital K. Pilah di bawah pemantauan seorang pakar kanak-kanak. Beliau kemudiannya mengaturkan satu temujanji untuk pemeriksaan  ECG di Hospital Besar Seremban. Pemeriksaan rutin dan pengambilan imunisasi di klinik kesihatan sebagaimana kanak-kanak lain masih berjalan seperti biasa. Kami membawa hasil penemuan pemeriksaan ECG di Hospital Seremban kepada pakar perubatan kanak-kanak di Hospital K. Pilah untuk tindakan selanjutnya.

Suri dan suami tidak dapat melupakan saat di mana kami dimaklumkan bahawa terdapat lubang pada jantung FF. Ia amat mengejutkan sehinggakan Suri menyalahkan diri di atas apa yang sedang berlaku. Mungkinkah ini berlaku kerana Suri tidak menjaga pemakanan semasa hamil atau melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan kesempurnaan janin dalam kandungan. Kes FF kemudiannya di rujuk untuk pemeriksaan dan rawatan lanjutan ke Institut Jantung Negara (IJN). Temujanji dengan pakar perubatan kanak-kanak dan pakar jantung diaturkan kemudiannya.

Semasa peristiwa ini berlaku, Suri pula disahkan mengandung anak kedua. Kehamilan kali kedua ini menambahkan lagi kebimbangan Suri.  FF  masih memerlukan perhatian dan kasih sayang serta penjagaan yang lebih rapi daripada Suri.    Apakah kandungan kedua ini juga akan mengalami nasib yang sama dengan FF? Apa pula yang bakal dihadapi oleh FF?

FF disahkan oleh pakar perubatan IJN mempunyai masalah jantung yang dikenali sebagai VSD iaitu terdapat lubang bersaiz kecil di jantungnya. Ini menyebabkan FF bernafas dengan laju atau dua kali ganda berbanding kanak-kanak normal. Dengan sebab itu jugalah terdapat titisan peluh pada dahinya masa tidur walaupun dalam bilik berhawa dingin kerana keadaanya diumpamakan seperti seseorang yang sedang bernafas sambil berjoging.

Senyuman dan kegirangan FF telah memberikan Suri sekeluarga semangat untuk menempuh apa sahaja yang bakal di hadapi pada masa hadapan. Suri sering berdoa agar lubang pada jantungnya akan tertutup sendiri tanpa sebarang pembedahan dilakukan. Suri juga memohon kepada Allah SWT supaya anak kedua dalam kandungan sentiasa dilindungi.

0 comments:

Post a Comment