Monday, July 18, 2011

Ramadan 1432H

Assalamualaikum...dah lama Suri tak update blog ini. Sejak dari awal tahun 2011, banyak masa Suri gunakan untuk menjalankan kerja-kerja di rumah dan membelek anak-anak terutamanya si kecil Arianna. Hari ini genaplah umurnya setahun.

Farhan telah mula bersekolah di Tahun 1 dan Naurah pula di pra-sekolah di sekolah yang sama. Setiap pagi kedua-duanya akan dihantar ke sekolah oleh ayah mereka sebelum ke tempat kerja. Walaupun terdapat sekolah yang berdekatan di rumah, mereka didaftarkan ke sekolah yang agak jauh sedikit tetapi berhampiran dengan tempat kerja ayah mereka. Manakala waktu pulang, kedua-dua mereka akan dihantar oleh van sekolah dengan kadar bayaran sebanyak RM50 seorang/sebulan. Jadi kos pengangkutan mereka balik dari sekolah adalah sebanyak RM100.

Farhan akan membawa bekal makanan dan air masak ke sekolah. Naurah pula membawa bekal air masak sahaja kerana makanan disediakan oleh pihak sekolah. Jika Suri tidak sempat menyediakan bekal makanan untuk Farhan, duit belanja sebanyak RM1 akan diberikan kepadanya. Farhan dilarang untuk membeli minuman di sekolah kerana suami mendapati pihak kantin sekolah hanya menjual air sejuk (berais) kepada murid-murid sekolah.

Pada sebelah petang, Farhan akan menghadiri kelas KAFA dan tuisyen  masing-masing 2 kali seminggu pada hari yang berlainan. Yuran KAFA adalah sebanyak RM30 sebulan tidak termasuk kos buku dan baju melayu lengkap bersongkok dan bersampin. Hairan juga sistem pelajaran kita sekarang ini. Tuisyen diajar oleh guru-guru sekolah dengan kadar yuran sebanyak RM220 satu semester. Persoalan yang timbul sama ada guru-guru mengajar dengan bersungguh-sungguh pada sesi sekolah biasa atau semasa sesi tuisyen. Kalau ada guru-guru yang mengambil sikap sambil lewa pada sesi pengajaran dalam waktu sekolah biasa kerana sesi tuisyen sebelah petang ada sebagai back-up, ada murid-murid yang akan menjadi mangsa kerana bukan semua mengambil kelas tuisyen.   

Kedua-dua mereka juga dihantar ke rumah jiran yang merupakan seorang ustazah di sebuah sekolah rendah berhampiran untuk mengaji Iqra'. Sebelum ini suami yang mengajar mereka mengaji Iqra tetapi tidak consistent..ikut mood dia nak ajar..kalau balik lewat dari ofis..tak mengaji ler jawabnya. Bila mereka nak pandai kalau macam tu?  Alhamdulillah..Farhan sekarang dah tamat Iqra'..minggu ini dah mula mengaji Al-Quran. Harap-harap Naurah juga akan dapat menamatkan Iqra'nya pada hujung tahun ini.

Suami telah menamatkan kelas renang Farhan pada bulan April lalu selepas setahun dia mengikuti kelas reang tersebut. Suami membuat keputusan tersebut berdasarkan pemerhatiannya sejak bulan Februari 2011, coach renangnya terpaksa mengajar teknik asas semula kerana terdapat ramai pelajar-pelajar baru. Adalah lebih baik sekiranya yuran sebanyak RM100/sebulan dijimatkan untuk perkara-perkara lain yang lebih penting.

Bagi mengelakkan kemahiran asas renang yang telah dipelajari selama lebih setahun menjadi tumpul, Farhan dibawa pada setiap hujung minggu ke kolam renang di Pusat Kejiranan. Naurah pula menyertai kelas taekwando yang dikendalikan oleh Pro Sport Taekwando di sekolahnya dengan kadar yuran sebanyak RM140 semester (4 bulan). Sekarang ini dia masih di tahap tali pinggang kuning kerana baru-baru ini dia gagal dalam ujian naik gred tali pinggang. Tidak mengapalah, dia baru 6 tahun berbanding dengan rakan-rakan kelas taekwandonya. Apa yang lebih penting ialah dia mempunyai satu aktiviti berbentuk kemahiran yang dapat membantu meningkatkan keyakinan dirinya.


Naurah (tengah) dalam satu sesi latihan taekwando

Bulan Ramadhan sudah hampir tiba. Kalau Ramadhan yang lalu, Farhan sebagai anak yang sulung telah mula dilatih berpuasa, maka tahun ini giliran Naurah pula akan dilatih untuk berpuasa. Pada tahun lalu, Farhan berjaya berpuasa penuh pada setiap hari kecuali satu hari sahaja. Dialah yang banyak menemani ayahnya bersahur dan berbuka memandangkan pada ketika itu Suri masih lagi dalam tempoh berpantang.

Insyaallah, Ramadhan kali ini akan lebih meriah lagi dengan kehadiran Suri dan juga Naurah yang akan berpuasa untuk kali pertama. Tahun lepas ada juga Suri cuba melatihnya berpuasa, tetapi gagal kerana banyak sangat kerenahnya selepas pukul 10 pagi walaupun dah bersahur dengan abang dan ayahnya. Tetapi tak kisahlah sebab masa itu dia baru berumur 5 tahun. Suri berharap cubaan kali ini akan menghasilkan kejayaan.

Mungkin ada yang berasa kesian bila anak-anak yang baru berumur 6-7 tahun disuruh berpuasa sebagaimana orang dewasa. Berdasarkan pengalaman yang dilalui dengan melatih Farhan berpuasa sedangkan pada ketika itu dia baru sahaja berumur 6 tahun, Suri yakin bahawa sebagai ibu bapa kita lah menjadi contoh untuk diteladani oleh mereka dalam mengharungi cabaran dan dugaan sepanjang berpuasa.

Kitalah yang mencorakkan mereka dan bukan sebaliknya. Sesekali tu kita boleh bertolak ansur untuk memenuhi kehendak mereka, tetapi jangan biarkan mereka mengambil kesempatan ke atas kelemahan kita hanya kita berasa kesian sekiranya kehendak mereka tidak dipenuhi. 

Bagi Suri pula, aktiviti di rumah sebagai isteri dan juga ibu sepenuh masa pada tahun ini terdapat sedikit perubahan. Aktiviti menambahkan pendapatan keluarga sebagai pengasuh masih dijalankan walau pun sibuk menyediakan keperluan anak-anak ke sekolah setiap hari termasuk menyemak homework mereka. Dalam masa yang sama, si kecil Arianna juga perlu diberi perhatian dan layanan sebaiknya.

Akhir kata dari Suri untuk catatan kali ini, "Duit bukan segala-galanya, tetapi pada zaman ini, segala-segalanya memerlukan duit". Sebab itulah, bukan semua orang sanggup mengorbankan kerjayanya demi menjaga keperluan suami dan anak-anak sepenuh masa di rumah. Insyaallah, kalau ada masa yang terluang, Suri akan menceritakan sedikit sebanyak aktiviti-aktiviti Suri dalam catatan akan datang.

Selamat Menyambut Ramadan dan Selamat Berpuasa!  

0 comments:

Post a Comment